Monday 12 March 2018

Kisah reformasi 1998



Kisah reformasi 1998

Sedang sibuk melayan album-album lama mencari gambar-gambar yang aku nak scan terjumpa pulak gambar zaman reformasi ni. Tahun 1998. Tahun di mana Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dah 20 tahun kisah ni. Nak-nak PRU pon dah makin dekat ni kan.

Masa ni aku kerja kerani bank di Jalan Raja Laut. Aku bukanlah terlalu politik sangat orangnya. Tapi masa ni umur aku baru 21 tahun. Umur yang mana kebanyakan anak-anak muda rasa ingin memberontak dan anti establishment. Aku seperti ramai rakyat Malaysia yang lain merasakan pemecatan DSAI adalah sangat tidak wajar dan mustahil.

Boleh dikatakan setiap hari Sabtu akan ada orang berkumpul untuk tunjuk perasaan di hadapan Sogo menghala ke Dataran Merdeka. Bank kerja half day. Jadi setiap kali habis kerja aku akan lepak depan Sogo turun padang melaungkan beramai-ramai:

Reformasi!
Reformasi!
Reformasi!

Banyak kisah masa zaman reformasi ni. Tapi dua kisah ni yang paling aku teringat walaupon ada sikit-sikit terlupa. Ye lah kisah 20 tahun lepas. Faktor umur menyebabkan sel-sel otak yang simpan kenangan tahun tu dah kurang berhubung.

Kisah pertama
Kalau tak silap aku masa hari DSAI dihadapkan ke mahkamah. Masa lunch hour, ramai gila pekerja-pekerja sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan TAR jalan kaki beramai-ramai ke bangunan mahkamah Bangunan Sultan Abdul Samad tu. Tapi ada FRU dah tunggu dengan trak dan meriam air kat hujung bangunan mahkamah tu. Kitorang tersekat tak dapat nak ke depan mahkamah.

Memula macam biasalah kitorang diminta bersurai guna pembesar suara. Tapi tak jadi apa. Lepas amaran demi amaran last-last FRU baling bom asap dan pancut air. Lepas tu FRU kejar. Pehhh bertempiaran lari. Memang lawak jugak lah masa lari ni. Aku tengok sekurang-kurang 3-4 kasut kerja tercabut. Tuan dia pon takde masa nak berhenti ambik balik. Semua takut kena pukoi dengan FRU hahaha.

Sampai depan KWSP, pak guard panggil masuk menyorok dalam tu. Fuh ramai rupanya manusia kat dalam ni. Semua gelak-gelak je pulak tu . Bila dah rasa reda kitorang pon balik ofis masing-masing. Sudahnya lunch hour aku hari tu makan roti je .

Kisah kedua
Aku dapat tau akan ada perarakan dari Pasar Seni menuju ke Bukit Bintang. Yang jadi ketua masa ni adalah Hishamudin Rais. Selepas ucapan berkobar-kobar kitorang berarak menuju ke Bukit Bintang lalu kot Jalan Pudu. Sampai depan Magnum kot rasa semua tetiba berhenti. Rupanya trak FRU dah sekat jalan dengan anggota FRU semua tengah bersusun je depan trak. Macam biasalah segala makian keluar untuk FRU.

Amaran untuk bersurai dikeluarkan dahulu beberapa kali. Kemudian dengar bunyi FRU ketuk perisai dengan kayu cota diorang tu. Fuh gerun gila dengar sebab kawasan situ tak berapa nak terbuka jadi bunyi ketukan tu macam bergema. Kemudian perlahan-lahan diorang jalan sambil masih mengetuk perisai. Aku dah cuak jugak masa ni tapi masih kekal tak berganjak.

Tiba-tiba diorang berlari nak serang. Perasaan takut tok sah cerita la. Memang ada satu pagar tu selamba je aku panjat dah macam atlit parkour. Aku pon tak tau aku ikut lorong mana. Tau-tau aku keluar kat Hotel Istana. Gelak beramai-ramai lepas tu. Kalau lah kena tangkap memang lumat kena pukoi. Itu lah kali terakhir aku join aktiviti reformasi. Lagipon setiap minggu bapak aku pesan jangan terlibat dengan reformasi . Kali ni aku dengar cakap bapak aku.

Lepas tu aku dah tak pernah join langsung dah apa-apa. Cukuplah kenangan zaman reformasi tahun 1998 dulu. Sekarang ni semua kat kertas undi je lah. Pilihlah yang mana kita rasa betoi untuk kita dan yang boleh memimpin Tanah Tumpahnya Darah Kita ini supaya menjadi semakin maju dan rakyat semua hidup senang dan bahagia.

Memetik kata-kata DSAI,
“ Kalau takut dengan risiko, usah bicara tentang perjuangan”


Terima kasih kerana sudi membaca

Bett